USIM LAHIR 1346 GRADUAN PADA MAJLIS KONVOKESYEN KE-10

 

NILAI- Seramai 1346 graduan dilahirkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Majlis Konvokesyen Ke-10 universiti ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,228 orang dianugerahkan ijazah diperingkat sarjana muda manakala 79 orang lagi diperingkat diploma lepasan ijazah, 30 orang diperingkat sarjana dan 9 orang diperingkat PhD.

Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli berangkat ke majlis yang penuh adat istiadat itu. Sebuah lembaran sejarah baru turut terukir apabila Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor pertama USIM.

D.Y.M.M Tuanku Canselor dalam titah ucapannya menyatakan rasa sukacita baginda tuanku tentang pencapaian-pencapaian cemerlang yang telah dikecapi oleh USIM walaupun ianya boleh dianggap sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang muda dari segi usianya di negara ini.

“Beta menyeru agar seluruh warga USIM untuk terus berganding bahu dan mengukuhkan tekad yang satu, mengharumkan nama USIM di segenap bidang”

“USIM seharusnya mengorak langkah untuk menjadi pencetus inovasi serta pusat rujukan utama kepada pelbagai disiplin ilmu bukan sahaja kepada negara ini bahkan negara-negara jiran di rantau ini.”

“Beta yakin, bidang ilmu baru yang lahir, hasil daripada inovasi dan kreativiti sesebuah gedung ilmu, akan memberi manfaat yang berguna kepada masyarakat sejagat”, titah baginda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat pada majlis yang penuh gilang gemilang itu.

Mohamad dalam ucapannya meyatakan, pengiktirafan serta penganugerahan yang diterima amat bernilai kerana sebagai pentadbir kerajaan negeri yang menggalas amanah serta tanggungjawab untuk memastikan Negeri Sembilan tidak hanya membangun dari aspek pembangunan infrastruktur tetapi juga berkembang maju dari sudut ekonomi, ilmu, budaya, sosial dan pembangunan modal insan.

Beliau turut menyatakan, USIM telah berjaya melahirkan beribu-ribu graduan dalam pelbagai bidang ilmu yang mengintegrasikan ilmu-ilmu moden dengan Pengajian Islam yang sudah pastinya menampilkan kejayaan dan kecemerlangan buat diri mahasiswa dan mahasiswi di sini.

“Saya berharap para graduan akan menjadi agen perubahan negara dan masyarakat dengan mencetuskan idea-idea yang kreatif dan inovatif, malah bersedia menyumbang segala kemahiran serta kepakaran yang dipelajari supaya negara kita tidak hanya menjadi sebuah negara peng-import dan pengguna semata-mata tetapi boleh menjadi sebuah negara yang menghasilkan berbagai bidang dan ilmu dan kreativiti yang boleh digunapakai oleh dunia sejagat” kata beliau.

Majlis Konvokesyen pada kali ini juga turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada mantan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi USIM, Profesor Dr. Jalani Sukaimi. Dalam pada itu seramai 29 orang graduan sulung dari Fakulti Pergigian dalam bidang Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dan seramai 30 orang graduan sulung Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunah melalui program kerjasama USIM-Darul Quran JAKIM turut dianugerahkan ijazah.

Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dalam ucapannya menyatakan, adalah menjadi harapan USIM agar graduan-graduan universiti ini menggunakan segala ilmu, kepintaran dan kepakaran, untuk terus menabur bakti kepada masyarakat, negara dan umat sejagat.

“USIM berharap anda semua akan keluar bertebaran di dalam berbagai kelompok masyarakat sebagai seorang Al-Abrar, menabur amal bakti tanpa jemu. Lantas itu anda semua menjadi inspirasi, ilham dan contoh yang baik kepada masyarakat terutamanya dalam memupuk budaya Wasatiyyah iaitu bertaqwa, cemerlang, adil dan seimbang dalam apa jua usaha dan kegiatan bagi mencapai matlamat hidup sebagai seorang Muslim bertunjangkan Maqasid As-Syariah”, katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah, Amirah binti Ahmad Ajazi dan Nurul Hayati binti Chamhuri, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang). Kedua-dua mereka menerima watikah, medal Pingat Jaya Cemerlang serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Canselor USIM.

Sementara itu, Anugerah Canselor diberikan kepada Siti Nurhafizah binte Abdul Rashid, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah manakala, penerima Pingat Emas Naib Canselor pula diterima oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Nadzirah bt Mohd Said.

 

 

 

 

Hubungi Kami Informasi Web
Bahagian Pengurusan Akademik
Universiti Sains Islam Malaysia
Aras 2, Bangunan Canselori
Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA

Tel: +606-798 8000, Faks: +606-798 8334, 
Emel: bpa[at]usim.edu.my

Pertanyaan / Maklum Balas: http://helpdesk.usim.edu.my
USIM tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta

Paparan terbaik: Firefox 30 / IE 8 dengan resolusi 1280 x 800
Tarikh Akhir Kemaskini: 25/4/2018

Hakcipta © Universiti Sains Islam Malaysia