Profesor Asma Mula Tugas

 
 

NILAI – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baru, YBhg. Profesor Dr. Asma Ismail hari ini dengan rasminya memulakan tugas beliau sebagai Naib Canselor universiti ini. Pelantikan beliau berkuatkuasa pada 1 Disember 2012.

Kehadiran Profesor Dr. Asma Ismail disambut oleh para kakitangan pentadbiran di bangunan Canselori USIM seawal jam 8 pagi. Turut serta menyambut dan mengalu-alukan kehadiran Naib Canselor USIM itu, barisan pengurusan tertinggi universiti.

Profesor Dr. Asma Ismail dilahirkan pada tanggal 15 Jun 1958 di Jitra, Kedah. Beliau merupakan lulusan dari Universiti Nevada, Reno, Amerika Syarikat dalam bidang Biologi dan memperoleh PhD di universiti yang sama dalam bidang Biologi Selular dan Molekul pada tahun 1986. Beliau memperoleh Ijazah sarjana dalam bidang Mikrobiologi dari Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat.

Profesor Dr. Asma Ismail memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1986. Pada tahun 1989, beliau telah dilantik sebagai Saintis Pelawat di Universiti Tokyo dan Felo Pelawat di Kolej Perubatan, Hospital St Bartholomew di London pada tahun 1992. 

Pada tahun 1993, Profesor Dr. Asma Ismail telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya dan berkhidmat sebagai Timbalan Dekan Pentadbiran pada tahun 1994. Beliau kemudiannya telah dinaikkan pangkat kepada profesor penuh pada tahun 2000 dan dilantik sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan pada tahun yang sama. 

Sepanjang berkhidmat di USM, beliau telah banyak memegang pelbagai jawatan termasuklah sebagai Pengarah Pusat Perubatan Inovasi dan Pembangunan Teknologi, USM (2001); Pengarah Pengasas, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM)(2003) dan merupakan wanita pertama di USM memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan inovasi).

Profesor Dr. Asma Ismail turut terlibat secara aktif dalam bidang penyelidikan. Sepanjang 5 tahun yang lepas, beliau telah memperoleh geran sebanyak RM 14 Juta (AS $ 4.7 Juta), membentangkan sebanyak 260 kertas kerja dengan lebih dari 147 jemputan sebagai pengucaptama diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

Di peringkat Negara, beliau merupakan pengerusi pengasas bagi penubuhan dan pelaksanaan Anugerah Akademik Negara (Anugerah Akademik Negara) dan Pelaksanaan Modal Insan Inovatif bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau juga mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Kluster bagi geran Pemenang Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan di bawah Akademi Sains Malaysia dan Skim Geran Penyelidikan Asas (Perubatan) bagi Kementerian Pengajian Tinggi. 

Dalam pada itu, beliau juga merupakan ahli jawatankuasa bagi Penubuhan Universiti Penyelidikan di Malaysia dan ahli Jawatankuasa Penilaian Universiti Penyelidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang membawa kepada penubuhan mercu tanda universiti Penyelidikan di Malaysia. 

Sebagai seorang saintis, Profesor Dr. Asma Ismail merupakan pakar dalam bidang Mikrobiologi Perubatan, Mikrobiologi Klinikal, Perubatan Bioteknologi dan telah menerima lebih daripada 92 anugerah dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

 

 

 

Hubungi Kami Informasi Web
Bahagian Pengurusan Akademik
Universiti Sains Islam Malaysia
Aras 2, Bangunan Canselori
Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA

Tel: +606-798 8000, Faks: +606-798 8334, 
Emel: bpa[at]usim.edu.my

Pertanyaan / Maklum Balas: http://helpdesk.usim.edu.my
USIM tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta

Paparan terbaik: Firefox 30 / IE 8 dengan resolusi 1280 x 800
Tarikh Akhir Kemaskini: 2/1/2018

Hakcipta © Universiti Sains Islam Malaysia